Skip to content Skip to footer

PROGRAM MADANI RAKYAT (PMR) NEGERI PERAK 2025

Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) telah menyertai PMR 2025 pada 13 hingga 15 Jun di Lumut Waterfront, Lumut dengan mempamerkan pelbagai inisiatif strategik negeri, khususnya dalam pembangunan hartanah, perumahan mampu milik dan infrastruktur dan pengangkutan yang sedang dan bakal dibangunkan di negeri Perak.
 
Antara fokus utama SSI di reruai tersebut adalah memperkenalkan projek-projek pembangunan bercampur, infrastruktur dan perumahan yang sedang dan bakal dibangunkan di beberapa lokasi strategik di negeri Perak. Projek ini bukan sahaja bertujuan menyediakan kediaman berkualiti dan mampu milik kepada rakyat, malah turut menyokong agenda Kerajaan Negeri dalam meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat. Ini termasuk projek perumahan yang telah berjaya disiapkan di sekitar daerah Manjung dan Perak Tengah seperti Taman Saujana Manjung di Sitiawan dan Taman Harmonis di Seri Iskandar.
 
SSI turut mempamerkan pembangunan Jeti Pulau Pangkor, inisiatif penting untuk merancakkan sektor pelancongan, ekonomi tempatan dan logistik pesisir. Projek Pembangunan Terimal Jeti Pulau Pangkor ini melibatkan komponen pembangunan yang pelbagai bagi melengkapkan dan meningkatkan aktiviti ekonomi sedia ada di Pulau Pangkor.
 
Turut diperkenalkan adalah projek Ipoh Sentral, sebuah hab pengangkutan bersepadu yang dirancang sebagai pusat transit utama merangkumi pelbagai kemudahan termasuk terminal bas, perkhidmatan rel dan ruang komersial. Projek ini dijangka memberi impak positif kepada mobiliti penduduk serta melonjakkan lagi pembangunan ekonomi bandaraya Ipoh secara menyeluruh. Pembangunan ini melibatkan keluasan kira-kira 66.65 ekar yang secara strategiknya terletak di tengah-tengah Bandaraya Ipoh dan bersebelahan dengan Stesen Keretapi Ipoh.
 
Penglibatan SSI dalam PMR 2025 mencerminkan komitmen berterusan agensi ini dalam menyokong agenda Kerajaan Negeri ke arah pembangunan yang inklusif, seimbang dan mampan untuk seluruh rakyat Ngeri Perak selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.

Perbadanan Setiausaha  Kerajaan Negeri Perak,
No. E-10-2, Menara SSI,Soho Ipoh 2,
Jalan Sultan Idris Shah, 30000 Ipoh, Perak DR.

Penafian Laman

Pihak SSi tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan, kerosakan atau kerugian yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini.

Statistik Pelawat

Hakcipta Terpelihara © 2026. Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Skip to content