PROGRAM JATI DIRI PERBADANAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PERAK (SSI) TAHUN 2026
Program Jati Diri Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada 2 hingga 3 November 2026 bertempat di Gopeng Glamping Park, Perak. Program ini dianjurkan bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama dalam pasukan, meningkatkan rasa tanggungjawab, membina hubungan yang baik serta mengeratkan silaturahim sesama warga kerja. Selain itu, program ini turut memberi penekanan terhadap peningkatan kecerdasan minda dan keseimbangan dari aspek moral, emosi serta mental.
Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik dan mencabar telah dilaksanakan, antaranya Cave Exploration di Gua Tempurung, Teambuilding Games, ATV Fun Ride dan Paintball-Wargame. Program turut diserikan dengan aktiviti santai seperti makan malam BBQ serta Fireshow & Campfire yang membuka ruang interaksi dalam suasana lebih santai dan mesra.
Lebih daripada sekadar aktiviti rekreasi, program ini menjadi platform untuk memupuk semangat saling membantu, bertukar pandangan serta mengukuhkan hubungan dan kepercayaan sesama peserta. Setiap aktiviti yang dijalankan turut memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan keyakinan diri, membina kerjasama yang lebih erat dan memperkukuh komitmen dalam mencapai matlamat bersama.
Penganjuran program ini diharapkan dapat memberi impak positif terhadap motivasi, disiplin dan komitmen warga kerja, di samping menggalakkan penerapan nilai-nilai yang diperoleh dalam pelaksanaan tugasan harian. Pengalaman dan manfaat sepanjang program ini juga diharap dapat menyumbang kepada pembentukan persekitaran kerja yang lebih harmoni, positif dan produktif, sekali gus menyokong pencapaian matlamat serta kecemerlangan organisasi pada masa hadapan.















