Annual Dinner Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) Tahun 2025 telah diadakan pada 12 Disember 2025 bertempat di AC Marriott Hotel dengan tema “Bikers Rock”. Majlis ini dianjurkan sebagai penghargaan kepada seluruh warga kerja SSI atas dedikasi dan komitmen yang menyumbang kepada pencapaian organisasi sepanjang tahun 2025.
Majlis telah diserikan dengan ucapan perasmian oleh YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Pengerusi SSI, yang menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja atas dedikasi serta komitmen berterusan dalam menjayakan agenda dan tanggungjawab organisasi. Turut hadir memeriahkan majlis ialah barisan Ahli Lembaga Pengurusan SSI iaitu YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyuddin, Pegawai Kewangan Negeri; Encik Muhammad Nazri bin Abdullah, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri; Encik Mohd Ikram bin Ahmad, Setiausaha Bahagian Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan; serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSI, bersama barisan pengurusan dan seluruh warga kerja SSI.
Selaras dengan tema “Bikers Rock”, para tetamu hadir dengan busana berkonsepkan motosikal dan rock, mewujudkan suasana majlis yang santai dan meriah. Majlis makan malam ini turut diserikan dengan persembahan hiburan serta acara cabutan bertuah yang menambahkan kemeriahan majlis.
Secara keseluruhannya, penganjuran Annual Dinner SSI Tahun 2025 telah berjalan lancar dan berjaya mencapai objektif penganjurannya serta memperkukuh semangat kekitaan dalam kalangan warga kerja SSI.





















