Sebanyak 399 unit servis apartmen telah berjaya disiapkan bagi Fasa 1 Projek Pembangunan Bercampur Piccadilly@Greentown, yang dibangunkan melalui usahasama antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dan Syarikat Uda Sari Sdn. Bhd.
Projek ini dibangunkan di atas tanah milik SSI seluas 3.98 ekar di Greentown, Ipoh, melibatkan pembinaan sebuah bangunan pejabat setinggi 6 tingkat dan 399 unit servis suite setinggi 28 tingkat, yang telah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 2 September 2025.
Piccadilly@Greentown merupakan pembangunan bercampur yang turut merangkumi komponen lain seperti 24 unit kedai pejabat 3 tingkat, 6 unit bangunan pejabat, serta 306 unit apartmen bagi Fasa 2.
Projek ini mencerminkan kejayaan strategi SSI dalam mengoptimumkan potensi tanah milik kerajaan negeri ke arah pembangunan mampan dan bernilai tinggi, sekali gus memberi impak positif terhadap kemajuan ekonomi dan pembangunan bandaraya Ipoh.









