Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Encik Zulkefli bin Abdullah telah mengadakan kunjung hormat ke atas Pegawai Daerah Hulu Perak, YBhg. Tuan Mohamad Fitri Bin Hassan di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik pada 13 Jun 2025.
Kunjungan hormat ini telah menjadi platform perbincangan awal antara SSI dan pihak pentadbiran daerah berkaitan beberapa projek pembangunan yang dirancang di daerah Hulu Perak. Antara agenda utama perbincangan termasuklah pembentangan maklumat tapak-tapak cadangan bagi pembangunan berimpak tinggi yang sedang dirancang oleh SSI di kawasan strategik sekitar Hulu Perak.
Turut dikongsikan dalam pertemuan ini ialah pelan tapak serta status projek-projek sedia ada dan cadangan inisiatif pembangunan baharu yang dijangka dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat. SSI turut menzahirkan komitmen untuk memastikan pelaksanaan projek selaras dengan dasar pembangunan mampan dan mengambil kira keperluan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
Pertemuan ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama antara agensi pelaksana pembangunan dan pihak berkuasa tempatan ke arah merealisasikan visi pembangunan Negeri Perak secara inklusif dan menyeluruh.




