Skip to content Skip to footer

LAWATAN TAPAK DAN SESI PERBINCANGAN KEMAJUAN PEMBINAAN KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH KERIAN

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Encik Zulkefli bin Abdullah telah mengadakan satu lawatan tapak dan sesi perbincangan teknikal bagi memantau kemajuan kerja projek pembinaan Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian. Turut hadir ialah Tuan Pegawai Daerah Kerian, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kerian, pihak pemaju serta agensi-agensi teknikal yang berkaitan.
 
Projek ini merupakan sebahagian daripada komponen pembangunan bercampur yang dilaksanakan oleh SSI di Taman Putra Perdana, Dennistown. Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian ini merangkumi pembinaan satu blok bangunan pentadbiran daerah setinggi empat (4) tingkat, satu blok pejabat dua (2) tingkat, sebuah dewan serbaguna dan sebuah kafe, serta pelbagai kemudahan sokongan lain yang direka bentuk secara holistik bagi memenuhi keperluan kompleks pentadbiran yang serba moden. Kompleks ini bakal menjadi pusat pentadbiran utama Kerajaan Negeri di Daerah Kerian – satu langkah strategik ke arah mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memperkukuh infrastruktur pentadbiran di kawasan utara Negeri Perak.
 
Dengan kemajuan fizikal projek yang kini berada pada tahap memberangsangkan, projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang September 2025. Kos pembinaan kompleks ini dibiayai sepenuhnya oleh SSI tanpa sebarang peruntukan dana daripada Kerajaan Negeri. Sebahagian daripada pendapatan SSI hasil pembangunan bercampur yang dilaksanakan disumbangkan semula kepada Kerajaan Negeri melalui pembinaan kompleks pentadbiran kerajaan ini. Penyerahan rasmi kompleks kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kerian dijadualkan pada Disember 2025. Inisiatif ini merupakan bukti komitmen SSI dalam menyokong dan membantu Kerajaan Negeri melalui hasil pembangunan yang dilaksanakan demi manfaat bersama.
 
Pembangunan Kompleks Pentadbiran ini merupakan antara komponen penting dalam menjayakan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030, khususnya dalam teras pemerkasaan tadbir urus serta penyediaan infrastruktur kerajaan yang cekap dalam merealisasikan visi sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030

Perbadanan Setiausaha  Kerajaan Negeri Perak,
No. E-10-2, Menara SSI,Soho Ipoh 2,
Jalan Sultan Idris Shah, 30000 Ipoh, Perak DR.

Penafian Laman

Pihak SSi tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan, kerosakan atau kerugian yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini.

Statistik Pelawat

Hakcipta Terpelihara © 2026. Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Skip to content