MAJLIS PERASMIAN HALAMAN SURI SEJAHTERA NEGERI PERAK
17 Julai 2026
Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad pada 16 Julai 2026.
Banglo milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) ini telah dinaik taraf dan diberi nafas baharu sebagai sebuah hab pembangunan wanita dan komuniti. Penubuhannya bertujuan menyediakan ruang yang kondusif bagi pelaksanaan pelbagai program pembangunan kapasiti, kepimpinan, keusahawanan, kesejahteraan serta sokongan psikososial dalam usaha memperkasa wanita, mengukuhkan institusi keluarga dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
Sebagai simbolik penyerahan, Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Encik Zulkefli bin Abdullah telah menyerahkan mock key Halaman Suri Sejahtera kepada Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), Puan Jamilah binti Zakaria selaku wakil Kerajaan Negeri Perak. Majlis tersebut turut disaksikan oleh YAB Menteri Besar Perak serta Yang Berhormat Dato’ Salbiah Mohamed.
Penubuhan Halaman Suri Sejahtera mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Perak melalui Sekretariat Pembangunan Wanita Negeri Perak dengan kerjasama Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dalam memperkukuh agenda pemerkasaan wanita dan pembangunan komuniti. Diharapkan hab ini menjadi platform yang memperluas penyertaan masyarakat, memperkasa wanita serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan kemajuan Negeri Perak.








