PROGRAM 3S DAN INISIATIF CSR SSI BERSAMA KOMUNITI ORANG ASLI SUNGAI CHADAK
16 August 2026
Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan komuniti melalui penglibatan dalam Program 3S Bersama Komuniti Orang Asli yang berlangsung pada 8 Ogos 2026 di Kampung Orang Asli Sungai Chadak, Hulu Kinta.
Program yang mengetengahkan elemen Sejahtera, Sihat dan Sukan ini menghimpunkan komuniti setempat bersama jabatan dan agensi kerajaan serta NGO dalam suasana santai, meriah dan penuh semangat kemasyarakatan. Pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk sukan dan rekreasi, pertandingan tradisional, aktiviti kanak-kanak, gotong-royong, pemeriksaan kesihatan, gunting rambut percuma serta kenduri rakyat.
Dalam masa yang sama, SSI turut menyokong usaha memperkasa kemudahan komuniti melalui inisiatif CSR penambahbaikan Balai Sewang Kampung Orang Asli Sungai Chadak. Penambahbaikan ini diharap dapat mewujudkan ruang yang lebih selesa dan sesuai untuk dimanfaatkan oleh penduduk dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Penglibatan SSI dalam program ini bukan sekadar menyantuni komuniti, malah menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk mewujudkan impak sosial yang bermakna serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat melalui inisiatif CSR yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.



