5 Mac 2026 – Dalam keberkatan bulan Ramadan, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) meneruskan lagi Program Singgah Sahur SSI 2.0 sebagai tanda penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang sentiasa komited melaksanakan tanggungjawab tanpa mengira waktu demi kesejahteraan rakyat.
Bagi edisi kali ini, Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Encik Zulkefli bin Abdullah bersama warga kerja SSI memulakan Program Singgah Sahur dengan kunjungan ke Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi menyantuni para pengawal keselamatan yang bertugas pada syif malam sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka dalam memastikan keselamatan serta kelancaran operasi bangunan tersebut.
Rombongan kemudiannya mengunjungi Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menyantuni para petugas yang setia menjalankan tugas pada waktu dinihari sepanjang Ramadan, sekali gus menghargai jasa dan khidmat bakti mereka kepada masyarakat.
Sesungguhnya, pengorbanan para petugas dalam melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dalam apa jua keadaan amat dihargai serta menjadi inspirasi kepada semua dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Terima kasih wira-wira barisan hadapan.









