Retreat Ahli Lembaga Pengurusan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) 2026 telah diadakan pada 9 hingga 11 Januari 2026 bertempat di JW Marriott Hotel, Kuala Lumpur. Penganjuran retreat ini bertujuan memperkukuh hala tuju strategik organisasi, mempertingkatkan keberkesanan tadbir urus serta menyelaras perancangan SSI bagi menghadapi cabaran dan peluang pada tahun 2026.
Program dimulakan pada hari pertama dengan sesi perbincangan strategik yang dipengerusikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (PKPE) bersama para pegawai SSI. Sesi ini memberi tumpuan kepada penilaian kedudukan semasa organisasi, pencapaian utama serta isu-isu strategik yang memerlukan perhatian dan tindakan bersepadu.
Pada hari kedua, retreat diteruskan dengan sesi Introduction to Artificial Intelligence (AI) yang disampaikan oleh jemputan khas, Dr. Hakimi dari PLANMalaysia, bertujuan memberikan pendedahan serta meningkatkan kefahaman berkaitan peranan dan potensi penggunaan teknologi AI dalam perancangan, pembuatan keputusan dan pengurusan organisasi. Sesi ini kemudiannya disusuli dengan Performance Review bagi menilai prestasi SSI, diikuti dengan pembentangan Business Plan SSI 2026 oleh PKPE sebagai asas perancangan strategik dan pelaksanaan inisiatif organisasi bagi tahun tersebut.
Retreat ini telah diakhiri dengan ucapan penutup oleh YB Pengerusi SSI, yang menekankan kepentingan kepimpinan berkesan, komitmen bersama Ahli Lembaga Pengurusan dan pengurusan eksekutif, serta keperluan untuk terus memperkukuh daya saing dan kelestarian SSI selaras dengan aspirasi pembangunan Negeri Perak.








