Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Encik Zulkefli bin Abdullah telah mengadakan sesi libat urus bersama Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Negeri Perak baru-baru ini, bertempat di Pejabat JPPH Negeri Perak, Wisma SSM.
Sesi libat urus ini merupakan antara usaha SSI dalam menjalinkan hubungan strategik bersama JPPH, khususnya dalam sektor berkaitan pembangunan hartanah serta perkongsian maklumat mengenai trend pasaran semasa. JPPH yang diwakili oleh Sr. Haris bin Mohd Yop, Penilai Daerah Ipoh, telah memberikan taklimat ringkas berkenaan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak JPPH.
Dalam pertemuan tersebut, turut dibincangkan isu berkaitan nilaian dan pasaran hartanah semasa serta perkongsian pandangan dan kepakaran dalam memahami kaedah penilaian hartanah bagi memenuhi hasrat pembangunan yang lebih inklusif.
Kedua-dua pihak turut membincangkan faktor-faktor penting dalam sesuatu pembangunan yang dirancang seperti komponen pembangunan, keadaan muka bumi serta liabiliti di atas tanah seperti kehadiran setinggan, kawasan berbukit, berkolam dan sebagainya, khususnya bagi tujuan pembangunan kawasan pertumbuhan baharu dan projek berkepentingan awam termasuk skim perumahan mampu milik.